Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kerteh mula dibuka pada 1 Januari 2003 terletak di Jalan Chabang, Kampung Baru Kerteh. Murid-murid perintis seramai 399 orang adalah terdiri daripada murid-murid dari SK Kerteh yang tinggal di sekitar Kampung Baru manakala guru-guru seramai 11 orang yang direkrut juga adalah dari SK Kerteh dan juga sekolah-sekolah yang berhampiran sepertimana yang diarahkan oleh PPD.
Di peringkat awal, murid-murid perintis ini menumpang belajar di SK Kerteh pada sesi petang selama dua bulan dan berakhir pada 8 Mac 2003 sementara bangunan sekolah disiapkan sepenuhnya. Kelas yang dibuka pada waktu itu adalah sebanyak 10 kelas iaitu tiga kelas tahun 1, dua kelas tahun 2, dua kelas tahun 3, dua kelas tahun 4 dan dua kelas tahun 5. Semasa menumpang di SK Kerteh, warga perintis SKKBKth ini giat menyumbangkan idea, masa dan tenaga menghasilkan lencana, motto sekolah dan nama kelas dengan diketuai oleh Guru Besar, Tuan Hj Amran bin Salleh dibantu oleh guru-guru penolong kanan iaitu Encik Zai Abdul Rahman (GPK1), Puan Norizan Abdul Rahman (GPK2) dan Puan Shrifah Asiah Syed Othman (GPK Ko).
Bermula 9 Mac 2003, murid-murid perintis ini mula belajar di SK Kg Baru Kerteh setelah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan iaitu :
.: BLOK A
Bangunan 2 tingkat yang menempatkan Bilik Guru Besar, Bilik Penolong Kanan 1, Ruang Pejabat, Bilik Radio / P.A System dan Bilik S/U Peperiksaan di aras satu manakala Pejabat HEM, Pejabat Ko-kurikulum dan Bilik Rawatan di aras bawah.
.: BLOK B
Bangunan 4 tingkat yang menempatkan Dewan Bestari dan gymnasium di aras bawah, Bilik BOSS, bilik Intervensi, makmal komputer dan bilik PPSMI di aras satu, Bilik Bimbingan & Kaunseling, Bilik BBM, Bilik Guru dan Dewan Seri Kembangan di aras 2 manakala Bilik Tayang, Perpustakaan dan bilik operasi Guru Media di aras tiga
.: BLOK C
Bangunan 4 tingkat yang menempatkan 14 buah bilik darjah, bilik J-QAf, bilik seni, makmal sains, makmal KH dan bilik muzik.
.: BLOK D
Bangunan 3 tingkat yang menempatkan surau, kedai sekolah, bilik darjah Pra Sekolah, bilik SAL dan 9 buah bilik darjah.
Setelah 6 tahun beroperasi, pelbagai penambaikan telah dilakukan untuk keceriaan dan keselamatan sekolah. Bahkan beberapa kejayaan turut digapai oleh sekolah ini dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum. Antaranya ialah Anugerah Pengurusan Ko-kurikulum Terbaik Daerah, Naib Johan Tarian Negeri, Johan Kawad Kaki Daerah Kemaman, dan Johan Berpasukan Taekwando Negeri.